Home Lifestyle Saringan Kanser Kolorektal: Kenapa Ia Penting Sebelum Munculnya Simptom?

Saringan Kanser Kolorektal: Kenapa Ia Penting Sebelum Munculnya Simptom?

4
0


Ramai yang beranggapan saringan kanser kolorektal hanya perlu dilakukan setelah munculnya simptom.

Namun, jika simptom sudah ada, kita mungkin telah terlambat untuk hanya menjalani “saringan”.

Oleh itu, dalam saringan kanser usus, terdapat dua aspek penting yang perlu diambil kira.
Pertama, adakah simptom yang hadir?
Kedua, apakah ada sejarah keluarga dengan kanser?

Jika seseorang mengalami simptom seperti perubahan dalam tabiat membuang air besar, darah dalam najis, penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan, sakit perut yang berpanjangan, atau anemia, mereka bukan lagi dalam kategori saringan biasa. Mereka memerlukan penilaian lanjut dan mungkin perlu dirujuk dengan segera.

Namun, jika tidak ada simptom, jangan berasa selamat. Langkah seterusnya adalah untuk meneliti sejarah keluarga.

Jika tiada sejarah keluarga dan berumur 50 tahun ke atas, saringan boleh dimulakan dengan ujian najis iFOBT. Jika keputusan negatif, ulangi setiap tahun. Jika positif, kolonoskopi perlu dilakukan.

Bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga, risikonya berbeza.

Kategori risiko sederhana termasuk mereka yang mempunyai saudara darjah pertama dengan kanser kolorektal, atau kombinasi ahli keluarga lain yang terlibat. Mereka biasanya perlu menjalani kolonoskopi lebih awal, sekitar umur 40 tahun atau 10 tahun lebih awal daripada ahli keluarga yang didiagnosis, bergantung kepada yang lebih muda.

Kategori risiko tinggi pula merangkumi mereka yang mempunyai sejarah keluarga kanser kolorektal pada usia muda, atau sindrom keturunan seperti FAP dan Lynch syndrome. Golongan ini memerlukan pemantauan kolonoskopi yang lebih awal dan lebih kerap.

Apa yang ingin disampaikan?

Maksudnya, kanser usus bukan hanya berkait dengan umur, tetapi juga sejarah keluarga.

Ada yang menunggu sehingga sakit baru mahu menjalani pemeriksaan. Ada pula yang malu untuk membincangkan tentang najis dan masalah usus. Dan terdapat juga yang menyedari sejarah keluarga, tetapi menangguhkan untuk bertindak dengan alasan, “Nanti dululah.”

Tetapi, dalam banyak situasi, saringan awal dapat membezakan antara rawatan awal dan penyesalan yang terlambat.

Jika anda berumur 50 tahun ke atas, atau mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap kanser kolorektal, sekarang adalah masa untuk mengambil tindakan serius.

Jangan tunggu sehingga tubuh memberikan isyarat baru mahu mendengar. Kadangkala, langkah paling menyelamatkan bukan rawatan besar, tetapi keputusan kecil untuk menjalani saringan.


Source

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here