CAS IZINKAN TUJUH PEMAIN HARIMAU MALAYA UNTUK BERAKSI
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin mengumumkan bahawa Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport – CAS) telah meluluskan permohonan Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Execution) yang dipohon oleh tujuh pemain pasukan kebangsaan: Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal, dan Héctor Hevel.
Keputusan ini menyatakan bahawa hukuman penggantungan selama 12 bulan terhadap tujuh pemain Harimau Malaya, yang dikenakan oleh FIFA, akan ditangguhkan buat sementara waktu. Mereka kini dibenarkan untuk meneruskan karier serta terlibat dalam semua aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan akhir rayuan di CAS diumumkan.







