Penyanyi Nubhan Ahmad mengakui bahawa dia tidak merancang untuk mendirikan rumah tangga semula dalam waktu terdekat setelah bercerai dengan bekas isterinya, Dr. Afifah Hidayah, pada Disember tahun lalu.
Menurut Nubhan, yang berusia 40 tahun, dia menyerahkan segala urusan jodoh kepada Tuhan dan berharap perjalanan hidupnya dipermudahkan melalui doa.
“Saya tidak merasa trauma untuk berkahwin semula, tetapi mengenai jodoh, saya serahkan semuanya kepada Yang Maha Esa.”
“Sebab saya percaya segala-galanya telah ditentukan oleh-Nya. Sebagai manusia biasa, saya mohon doa yang baik.”
“Tentang jodoh, rezeki, ajal dan maut, semuanya di tangan Allah. Apa yang perlu saya fokuskan sekarang adalah perancangan dengan anak-anak dan keluarga,” katanya.
Nubhan menyatakan demikian ketika ditemui dalam sidang media konsert akhir Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam baru-baru ini.
Di samping itu, apabila ditanya tentang sama ada ibunya terlibat atau memberi pandangan mengenai masalah rumah tangganya sebelum ini, Nubhan menegaskan bahawa itu tidak berlaku.
“Ibu saya tidak pernah ambil peduli tentang masalah rumah tangga saya. Dia tidak mengikuti perkembangan tersebut, jadi tidak banyak yang dia ketahui tentang isu perkahwinan dengan bekas isteri.”
“Yang dia ketahui hanya beberapa perkara tentang saya. Mengenai isu luar, dia kurang ambil perhatian. Dia juga tidak pernah bertanya, menyerahkan sepenuhnya kepada saya,” jelasnya.
Untuk makluman, Nubhan dan Dr. Afifah Hidayah telah sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Disember lalu.






