[UPDATE] Doakan adik Nur Ghaziyah Athirah

by Edisi Viral


HOME Posted on 13 Jan 2018 06:03:16


WALAUPUN sudah genap sebulan tragedi meragut nyawa lima ahli keluarganya, namun Nur Ghaziyah Athirah Muhamad Abu Dujanah, yang juga satu-satunya mangsa terselamat dalam kemalangan di Kilometer 176 Jalan Johor Bahru-Seremban berhampiran persimpangan Kampung Melayu Raya, Segamat, masih ditempatkan di hospital.

Kanak-kanak berusia empat tahun itu masih di bawah pemantauan doktor di Wad Pediatrik Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Bagaimanapun, dia yang sebelum ini bergantung dengan alat bantuan pernafasan, kini sudah sedar, namun belum dapat mengenali orang di sekelilingnya.

Menurut bapa saudaranya, Muhammad Taqiyuddin Dzulkrinain, 27, Nur Ghaziyah baru saja menjalani pembedahan bagi mengeluarkan cecair di kepalanya yang membuatkan kepalanya membengkak.

"Pada 29 Disember lalu, anak saudara saya sudah dipindahkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang, namun terpaksa dirujuk kembali ke HSA memandangkan kepalanya membengkak semula.

"Dia menjalani pembedahan sekali lagi pada Rabu lalu dan kini kepalanya sudah normal, namun masih dalam pemantauan doktor," katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Menurut Muhammad Taqiyuddin, Nur Ghaziyah kini hanya mampu membuka mata, menguap dan menggerakkan tangan.

"Dia sudah sedar, tetapi masih tidak boleh mengenal orang, mungkin kerana gegaran otak yang dialami.

"Kini yang dia mampu buat hanya buka mata, menguap dan gerakkan tangan, yang lain masih tidak dapat lagi," katanya.

Nur Ghaziyah kini di bawah penjagaan datuk dan neneknya, namun saudara-maranya akan turut bergilir menjaganya di hospital.

Muhammad Taqiyuddin turut meminta orang ramai terus mendoakan yang terbaik buat kesihatan Nur Ghaziyah supaya anak saudaranya itu dapat kembali sihat seperti dulu.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang, 12 Disember 2017, Nur Ghaziyah bersama bapa, Muhamad Abu Dujanah Dzulkrinain, 30; ibunya, Zinnirah Abdul Hamid, 28; kakak, Nur Maghfirah, 6; abang, Muhammad Abu Ajwad, 4 dan adik, Nur Alia Humairah, tiga bulan, dalam perjalanan pulang dari Muadzam Shah, Pahang ke Kluang.

Malangnya, Perodua Viva yang dipandu bapanya hilang kawalan lalu berpusing dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung bas ekspres menyebabkan ibu, bapa dan abangnya meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kakak dan adiknya meninggal dunia di Hospital Segamat.

Berita berkaitan

- Nur Ghaziyah Athirah kritikal

- Doakan Nur Ghaziyah Athirah cepat sembuh

- 'Aku takut tak sempat didik anak...'

- Dapat tahu kehilangan adik melalui FB

- Ya Allah, ampunilah, rahmatilah mereka...

- Lima sekeluarga ajal bersama



Related News


Leave a Comment:

Search
Side News