Gara - Gara Tiada Sijil Nikah Anak Kami Tidak Dapat Ke Sekolah

by Edisi Viral


HOME Posted on 13 Jan 2018 11:01:36



SUNGAI BULOH: Masalah ketika mendaftarkan perkahwinan mereka 15 tahun lalu menyebabkan anak satu pasangan rakyat Malaysia tidak dapat bersekolah.

Semuanya bermula pada 2003, apabila Muhamad Isnin dan Ridzawati Jamaludin berkahwin menggunakan khidmat seorang kadi di Kedah. Katanya, sijil nikah mereka hilang ketika berpindah rumah.

-Apabila kami hendak meminta sijil nikah yang baru nak ganti dengan yang hilang, kami cuba hubungi mereka tapi tidak berjawab dan tidak dapat dikesan,- katanya

Beliau berkata, mereka cuba mendapatkan salinan gantian sijil nikah di Jabatan Agama Islam Kedah, tetapi dimaklumkan perkahwinan mereka tidak didaftarkan.

Ketika itu katanya, baru mereka sedar menjadi mangsa sindiket perkahwinan.

-Pada masa itu, baru kami rasa yang itu adalah sindiket. Apabila sudah -check- dengan Jabatan Agama (Islam) Kedah, nama kami tiada dalam sistem.-

Anak lelaki mereka kini berusia 14 tahun dan bekerja di sebuah bengkel, manakala anak perempuannya berusia 9 tahun tinggal di rumah untuk membantu menjaga bapanya yang sakit.

Kedua-duanya tidak boleh ke sekolah kerana pasangan itu tidak mempunyai sijil nikah, syarat untuk ibu bapa mendaftarkan anak mereka memasuki sekolah.

Disebabkan tiada sijil nikah, anak mereka juga tidak dapat memohon sijil kelahiran atau MyKid. Ridzawati, 38, terpaksa bergantung kepada simpanan, selepas suaminya jatuh sakit.

Ridzawati juga tahu 2 lagi anaknya yang berusia 2 dan 5 tahun akan ditimpa nasib sama seperti abang dan kakak mereka yang tidak dapat ke sekolah.

Rayuan pasangan itu sama dengan ribuan kanak-kanak tanpa warganegara di Malaysia yang tidak boleh bersekolah kerana dasar Jabatan Imigresen yang mereka perlu mempunyai pasport.

Jabatan Pendidikan menggunakan surat daripada Jabatan Imigresen untuk melarang kanak-kanak terbabit mendaftar di sekolah.

Ia termasuk seorang kanak-kanak perempuan di Seremban dan 7 kanak-kanak di Pulau Pinang yang dihalang bersekolah. Tindakan itu dikecam kumpulan hak asasi dan pejuang kebajikan kanak-kanak.

Semalam, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali menjelaskan surat imigresen kepada Kementerian Pendidikan itu adalah mengenai keperluan pasport dan dokumen perjalanan bagi kanak-kanak warga asing untuk tinggal di Malaysia.

Beliau berkata, surat penjelasan bertarikh 28 Disember itu bertujuan menjawab persoalan yang dikemukakan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, bukannya surat pekeliling.

Katanya, kemasukan kanak-kanak warga asing di sekolah bantuan kerajaan terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan, bukannya Jabatan Imigresen.

Beliau tiada pendapatan tetap kerana suaminya lumpuh dan koma tahun lalu. Sebelum sakit, Isnin sihat dan berniaga di pasar malam.

Kini beliau terpaksa bergantung kepada simpanannya. Kerana tidak mahu anaknya ketinggalan dalam pelajaran, beliau akan mengajar anaknya dan membeli buku untuk mereka baca.

-Mereka hanya belajar benda asas seperti kenal huruf dan nombor dan saya hanya akan ajar bila berkesempatan.

-Ada usaha masukkan mereka ke sekolah, tapi alasan untuk sekolah tidak ambil mereka kerana tiada pasport.


-Saya sedih kerana saya tahu semua ibu bapa nak anak mereka bersekolah untuk menuntut ilmu secukupnya, tapi bila ditimpa musibah begini, saya cuma mampu pendam.-  Editor: Amylea Nazrul



Related News


Leave a Comment:

Search
Side News